The End ...

Sebenarnya blog ini sudah berkubur sejak beberapa purnama lalu. Andai tiada tulisan ini pun, semua dapat mengagak yang blog ini tidak akan bangkit-bangkit lagi. Walau bagaimanapun, untuk kesan dramatik, aku taipkan juga entri ringkas bertajuk 'The End .....' ini.


Terima kasih buat semua yang sudi meluangkan masa membaca Rapuan. Moga kalian semua dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan masa senggang yang banyak. Insya Allah panjang umur kita akan bersua lagi ... di dunia nyata.


Wassalam ...

- Hazri -

Baca lagi ...

Marah terarah ...


Membaca reaksi pemimpin-pemimpin negara umat Islam hari ini terhadap keganasan entiti haram Israel ke atas rakyat Palestin tidak sukar. Kata-kata mereka meskipun pada zahirnya tampak mengecam keganasan Israel, namun pada hakikatnya segala kecaman, cemuhan dan bantahan mereka tidak lebih dari bertujuan untuk meredakan amarah rakyat masing-masing. Pemimpin-pemimpin ini cuba berselindung di sebalik istilah 'political correctness' dan masih teragak-agak untuk menamakan entiti haram ini sebagai PENGGANAS. 

Jelasnya mereka lebih risaukan persepsi 'Tuan Rumah Putih (رب البيت الأبيض)' dari pandangan 'Tuhan Rumah Hitam (رب البيت الأسود)' terhadap apa sahaja tindakan yang bakal mereka ambil. Segalanya mesti sejajar dan selari dengan telunjuk Tuan Rumah Putih. Dalam riuh-rendah mereka mengecam tindakan keganasan entiti haram Israel, mereka pada masa yang sama menyalahkan rakyat Palestin dan kerajaan pilihan mereka; menamakan mereka sebagai punca penyebab maraknya kembali api konflik di bumi Isra'. Boleh dikatakan hampir tiada pemimpin negara umat Islam yang berani menuding jari kepada entiti haram Israel dan mengatakan bahawa merekalah yang bersalah. Menyatakan bahawa entiti yang wujud di atas darah dan tanah umat Islam Palestin hari ini yang digelar puak Yahudi sebagai 'Negara' merupakan simbol kezaliman, penganiayaan dan penindasan mereka selama ini terhadap penduduk asal Negara Palestin.

Jadi apalah yang boleh diharapkan dari pemimpin-pemimpin sebegini. Pemimpin yang minda mereka tertancap ide bahawa konflik di Palestin hanyalah salah satu dari puluhan konflik merebut wilayah yang berlaku di seluruh dunia. Pada mereka isu Palestin merupakan isu setempat dan tidak harus bagi mereka yang 'menghormati' kedaulatan negara lain untuk turut serta campur tangan dalam pertikaian ini. Jauh sekali untuk mengharapkan mereka untuk turut sama mempertahankan ide bahawa Negara Palestin merupakan sebuah negara yang merdeka sejak dahulu lagi dan rejim Zionis merupakan punca segala masalah di wilayah ini. 

Setiap saat yang berlalu bererti bilangan mereka yang tewas diratah amuk tentera udara entiti haram Israel semakin meningkat. Seharusnya kita memperbanyak doa buat saudara-saudara seIslam kita di bumi Palestin dan bagi mereka yang berkemampuan, peruntukkanlah sebahagian dari rezeki kurniaan Allah buat kita kepada saudara-saudara kita yang memerlukannya di Bumi Palestin sana. Buat sahabat-sahabat yang tegar menulis, jangan segan-segan untuk menyatakan sokongan anda kepada perjuangan rakyat Palestin. Ingatlah, tiada usaha yang terlalu kecil pada pandangan Allah. 

Akhirnya, aku tujukan entri ini khusus buat pemimpin-pemimpin negara umat Islam yang telah hilang kejantanan mereka dikembiri Tuan Rumah Putih!


بسم الله الرحمن الرحيم
اللهمّ انّ نجعلك في نهور أعدئنا
و نعوذبك من شرورهم
اللهم بدّد شملهم
وفرّق جمعهم
وشتّت كلمتهم
وزلزل أقدامهم
وسلّط عليهم كلبا من كلابك
ياقهّار ياجبّار يامنتقم ياالله
اللهمّ يامنزل الكتاب ويامجري السحاب وياحازم الأحذاب
احزمهم وأنصرنا عليهم



Baca lagi ...

Selamat Hari Raya Aidiladha 1429H


Selamat menyambut ketibaan Aidiladha 1429 Hijriyyah buat semua pembaca Rapuan. 

كل عام وأنتم بخير

Baca lagi ...

BenYoussef (or: How I Learned to Stop Worrying and Love the Exam)

Entri pertama dan terakhir untuk bulan November (atau terakhir untuk tahun ini?).

Tiada cerita menarik untuk kali ini. Sekadar meminta ditumpangkan dalam doa-doa kalian; moga-moga aku turut sama dikurniakan kejayaan dalam peperiksaan akhir nanti. Pesan aku, jadilah seperti Arab apabila seseorang itu minta didoakan, tinggalkan sebentar keMelayuan kalian. :)

Teman-teman Arab (dan masyarakat tempatan umumnya) langsung menghamburkan doa apabila diungkapkan "دعواتك" (doa kamu/doakan aku) di hadapan mereka. Langsung berbeda dengan masyarakat kita yang menyambutnya dengan senyum lebar dan ungkapan "Insya Allah". 

Masih bersisa beberapa saat sebelum entri kali ini tamat dan apa salahnya jika kalian lintaskan dalam kalbu moga-moga aku dikurniakan kejayaan dalam peperiksaan. Sudah? Mudah bukan ... :) Moga-moga doa kalian dimakbulkan dan kalian turut sama dikurniakan kejayaan dalam mengharungi peperiksaan-peperiksaan yang mendatang.

Tambahan : Tajuk entri kali ini diubah-suai dari sebuah filem era perang dingin arahan Stanley Kubrick. 

Baca lagi ...

Tentang Gambar, Tanpa Gambar ...

Gambar I

Siang tadi Encik Arif* ingin memperbaharui visanya setelah visa pelajarnya tamat tempoh beberapa hari sudah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, hampir kesemua urusan yang melibatkan pengeluaran 'Syahadah Qayd' oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar tidak memerlukan pemohon mengemukakan gambar warna berukuran pasport untuk dikepilkan bersama Surat Akuan. Memadailah dengan menyertakan sekeping gambar sendiri yang difotostat. Pelik tapi unik. Di sini gambar berwarna atau salinan fotokopi sama setara nilainya antara satu dan yang lain asalkan disertakan bersama cop berlambangkan Helang Salahuddin sebagai pengesahan ketulenan dokumen yang dikeluarkan.
(Sila klik "Baca lagi ..." untuk lebih banyak gambar)


Gambar II

Tahun 2004. Aku membeli sebuah buku Soal Jawab Mikrobiologi terbitan salah seorang profesor jabatan dan alangkah terkejutnya aku apabila wajah Abang Mat** tertera seawal mukasurat dua buku tersebut. Minda waras aku gagal mencerna maksud yang dikehendaki penulis. Lalu aku buat kesimpulan mudah, penulis buku ini sekurang-kurangnya berjawatan Ketua Cawangan kalaupun tidak Ketua Bahagian.


Gambar III

Mungkin antara isu yang hangat diperkatakan di tanah air selain dari 'keengganan' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mempertahankan jawatan Presiden Alif-Mim-Nun-Wau dalam PAU yang akan datang dan 'rasa kesal dan terharu' para penyokong beliau atas keputusan yang dibuat ialah isu patung DSAI. Baca ulasan dua orang ustaz dalam blog mereka di SINI dan di SINI.

* Nama penuh Encik Arif terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan ... penulis. :)
** Kalian tidak kenal Abang Mat? Rujuk gurnal Al-Ahram bertarikh ... tiap-tiap hari, muka depan. Boleh jadi Permit Penerbitan KDN Mesir memerlukan gambar tersebut berada di muka hadapan sebagai syarat kelulusan permohonan ...
Baca lagi ...

Geledah Laman Ini